Thursday, August 27, 2009

Pameran Sembilan Pelukis Istana Budaya

Sebelum gagasan untuk mempamerkan karya pelukis dari Istana Budaya, sebenarnya terdapat beberapa institusi di tanah air kita yang memiliki pelukis, dan mereka dikenali bahkan telah mencipta nama di buana seni lukis Malaysia. Pelukis yang melakukan kerja sambilannya sebagai pelukis kurang dikenali berbanding dengan pelukis yang menjadi pelukis sepenuh masa. Dalam hal ini sejarah seni lukis negara pernah mencatatkan beberapa institusi yang membesar bersama pelukis yang mereka miliki. Umpamanya pelukis Datuk Hoesein Enas pernah mengetuai unit reakaan set di RTM. Selain itu terdapat dua orang pelukis yang namanya tidak mungkin dilupakan dalam sejarah seni lukis Malaysia, iaitu allahyarham Nik Zainal Abidin Salleh dan Dzuklifli Buyong yang juga pernah bekerja sebagai pereka di RTM.

Selain itu terdapat ramai pelukis yang menjadi pereka di institusi dan syarikat penerbitan tertentu. Hassan Majid, Othman Haji Zainuddin, Mohas, Sabri Yunus, Along dari Dewan Bahasa dan Pustaka. Begitu juga dengan Jaffar Taib, Azman Yusoff, Zainal Buang Husein, S. Mizi ( Syed Tarmizi Syed Hassan) antara pelukis yang terlibat dengan dunia penerbitan buku dan majalah tanah air.

Selain institusi yang disebutkan itu, Istana Budaya juga memiliki beberapa orang pelukis dan pereka. Pameran Warisan ini menampilkan sembilan orang pelukis Istana Budaya. Pelukis-pelukis tersebut, ialah Ahmad Marzuki Abu Hassan, Termize Mokhtar, Razali Itam, Kamarudin Abd. Ghani, Siti Nasyreen Zaharin, Sarena Azizan, Azzazizul Shuib, Azmi Awang dan Muhammad. Colmann Abdullah. Manakala empat orang pelukis jemputan yang ikut serta di dalam pameran ini terdiri daripada pelukis Aris Aziz, Amirudin Ariffin, Sani Sudin dan Azmi Mambo.

Dalam karya Ahmad Marzuki Abu Hassan (Amar), pelukis yang berasal dari Perak ini memaparkan kemahiran beliau menggunakan bahan campuran dengan penuh teliti membuat petak, garis dan menebuknya dari belakang. Karya-karyanya seperti “Bangunan Sultan Abdul Samad Dalam Songket” (2007), “Songket Kuala Lumpur’ (2008) dan “Warisan” (2007) dengan jelas menggambarkan kecintaan Amar kepada tanah airnya dengan medium pilihannya.

Termize Mokhtar, lulusan Polisas, Kuantan ini menggunakan pelbagai bahantara. Bermula dengan melukis batik, dia kemudian merangka bangunan. Teknik dan style batik nampaknya mendominasi karya lukisannya walaupun beliau menggunakan media yang lain. Siri “Wak Long Menjadi Raja” adalah siri karyanya yang menarik. Mitos yang melebar dalam tradisi rakyat Kelantan itu disorot dari sudut yang berbeza dengan karya-karya Nik Zainal Abidin dan juga Yusoff Haji Abdullah.

Razali Itam, bermula sebagai pelukis plan, tetapi minatnya kepada dunia seni lukis amat kental sekali. Siri “Tesong 1”, “Tesong 2” dan “Tesong 3” umpamanya jelas mempamerkan kemahiran beliau menggunakan warna. Dia pandai bermain cahaya dan memberi rembesan yang gelap menjauh di belakang antara tompokan hijau tua, dan cerah jernih mengalir di hadapan yang hampir dengan pandangan mata.

Siti Nasyreen Zaharin, anak kelahiran Perlis dan lulusan UiTM Seri Iskandar ini memiliki skill yang tersendiri dalam karya catannya. Dia menyorot anjung rumah, menatap lampu lama, beralih kepada hamparan teratai di muka tasik. Jiwa kewanitaan yang bergelombang dan mempamerkan ketekunan melakar warna di muka kanvas. Alam desa dan jiwa kewanitaan terserap ke dalam siri karya yang diangkatnya untuk pameran ini.

Sarena Azizan, anak kelahiran Perlis dan lulusan UiTM dalam rekaan pakaian membuatkan khalayak cepat menangkap bahawa dunia yang diterokainya. Dia penjahit yang rakin mencantum dan merangkai kelarai dan bungaan untuk membentuk objek pilihannya. Sifat keibuan yang tekun dan rajin tertumpah dalam siri karya yang dikentengahkannya pada kali ini.

Kamarudin Ab Ghani, lulusan Ijazah pertama dari Universiti Utara Malaysia dan Diploma Perguruan dari Institut Perguruan Ilmu Khas, Cheras. Berpengalaman lebih tujuh tahun membuat rekaan set untuk pelbagai persembahan di Istana Budaya. Beliau tampil dengan siri catan cat airnya. Keindahan alam dan perahu yang akrab dengan kehidupan dirakamnya dengan penuh keinsafan.

Azmi Awang, pelukis yang pernah bertugas di BSLN lebih 20 tahun sebelum beralih arah ke Istana Budaya. Mulai melukis secara serius sejak tahun 1981 dan telah menyertai pelbagai pameran. “Siri Laman di Taman” adalah rakaman kecintaannya kepada kampung halaman yang sentiasa diingatinya walaupun telah memilih untuk menjadi penghuni kota raya.

Azzazizul Shuib, seorang pereka cahaya yang telah banyak membuat eksperimen untuk menemukan warna pentas yang indah dan bertepatan dengan persembahan yang dibuat. Apabila kepakarannya sebagai pereka cahaya bergantung dengan bakat melukisnya, khalayak berdepan dengan imaginasi yang kembali ke masa lampau atau mungkin sahaja menjangkau ke masa hadapan. Dia bermain dengan cahaya dan warna.

Muhammad Colmann Abdullah, bakat baru yang memberanikan dirinya untuk memasuki alam warna. Bermula dengan sorotan melalui filem pendek bersama teman-temannya, dia kali ini tampil untuk bermain dengan warna hitam-putih kehidupan. Hanya waktu dan ketekalan akan menentukan arahnya.

Sebagai sebuah pameran yang julung kali diadakan dengan menggabungkan para pelukis yang ada di Istana Budaya, Pameran Warisan ini diharapkan akan menjadi pemula untuk siri pameran yang mendatang. Terima kasih yang setingginya kepada para pelukis tanah air yang sudi menggabungkan karya mereka dalam pameran ini, khususnya kepada Aris Aziz, Amirudin Ariffin, Sani Sudin dan Azmi Mambo.

Rahimidin Zahari

No comments:

Post a Comment

Followers